Friday, April 23, 2010

14. PROGRAM SEKOLAH ANGKAT 2: SK POS RAYA, SIMPANG PULAI

Hari ini Jumaat, penghulu segala hari. Malam tadi kami dah bersetuju dengan Dr Murshid, Ketua Biro Pelajaran, Kelab Bakti Gunung Keledang nak temankan dia ke Sekolah Kebangsaan Pos Raya, Simpang Pulai, Ipoh berjumpa dengan  Guru Besar.

Tujuannya, tiada lain melainkan berbincang lanjut mengenai cadangan Kelab Bakti Gunung Keledang untuk mengambil SK Pos Raya sebagai sekolah angkat untuk pelaksanaan Program Pemantapan bagi 35 orang pelajar tahun 6 menghadapi UPSR tahun ini. Tahun ini diberitakan sistem baucer tuisyen subsidi Kerajaan Pusat telah dimansuhkan. Kelab akan membantu menyediakan peruntukan untuk imbuhan tuisyen.

Lawatan juga adalah susulan daripada perbincangan-perbincangan  awal antara Dr. Murshid dengan  Tuan Hj Radzi, Pengarah Pelajaran Negeri Perak dan dengan Cikgu Idriss, Penolong Kanan sekolah tersebut dalam majlis yang berbeza tapi satu matlamat dan satu tujuan.

Jam 8.30 pagi sudah bertolak daripada rumah menyusuri Plus Highway exit kat Simpang Pulai dan singgah di warung depan Balai Bomba Simpang Pulai sementara menunggu Dr Murshid.

Kurang lebih jam 9.00 sudah berada di warong kopi depan Balai Bomba. Banyak kereta di kiri kanan jalan, bersebelahan warong dan depan Balai Bomba. Rupanya ada raptai untuk majlis pada hari Ahad nanti yang akan di rasmikan Tuanku Paduka Seri Sultan Perak. Patutlah ada kereta bomba antik lalu kat situ!

Pagi masih awal kerana temujanji jam 10.00 pagi. Pekena teh panas dulu sementara menunggu Dr Murshid. Jam 9.30 pagi kereta Rexton miliknya melintas lalu berhenti terpacak depan warong sambil Murshid melambai tersenyum. Memang Dr Murshid selalu punctual dan selalu ceria. 

Kami bertiga beredar ke SK Pos Raya, perjalanan yang hanya mengambil masa 15 minit.

Hari ini 'birthday anniversary’ Murshid. Entah kali ke berapa tak kisah asalkan sambutan hari lahir di buat bermula dengan kerja amal bakti. Semoga kerja diberkati Allah swt dan birthday boy serta family di kurniakan segala kedamaian, sihat sejahtera aman bahagia.

SK Pos Raya dengan jumlah pelajar seramai 209 orang anak-anak Orang Asli kaum Semai dan Temiar terletak di pinggir jalanraya Simpang Pulai ke Cameron Highland.  

Perbincangan ringkas tapi padat.

Masa yang diruangkan sempat untuk meninjau suasana bilik darjah, dari tahun satu hingga tahun enam. Teruja melihat kesungguhan anak-anak belajar dengan tekun bimbingan 20 orang guru yang berdedikasi.

Kemudahan tersedia dengan cukup. Ada makmal computer lengkap dengan perisian komputer bagi setiap mata pelajaran. Sebuah surau untuk kegunaan para guru dan pelajar juga tersedia.

Padang sukan luas berlatar belakang bukit bukau indah dan amat memukau.

Kemudahan lain termasuk pusat sumber, makmal sains, kuarters guru, janakuasa suria dan penapis air bawah tanah.

Kesungguhan Cikgu Idriss dengan cadangan program-program yang disusunnya  untuk memberi ilmu dan kecermelangan kepada anak-anak Asli meyakinkan kami dari Kelab Keledang bahawa pemilihan SK Pos Raya untuk disalurkan bantuan adalah tepat.

Semoga apa yang dirancangkan dapat terlaksana dengan tertib dan beroleh kejayaan dan restu dari Ilahi.

No comments:

Post a Comment