Wednesday, November 17, 2010

80. DARIPADA KAMI DI KELEDANG ...UNTUK KALIAN PEWARIS BANGSA

Segalanya bermula daripada amatan tajam seorang pakar perubatan yang juga Presiden kelab. 

Pengamatan yang dikongsi oleh ramai ahli dan keluarga Keledang semasa sessi berbuka puasa di beberapa rumah anak-anak yatim sepanjang bulan Ramadhan lalu. Anak-anak didik yang menghuni rumah anak-anak yatim rata-rata dilihat tidak berkeyakinan, menyendiri dan takut-takut.

Atas rasa tanggungjawab kelab untuk memberi motivasi membina semangat kental dan yakin diri, Sdr Presiden telah mensarankan supaya Ketua Biro Kebajikan, sdr Dato' Azmi merangka satu module motivasi yang sesuai untuk pelajar-pelajar tersebut sambil mengenalpasti kumpulan sasaran, lokasi latihan dan bajet yang sepadan.

Kerangka hasilan Sdr Dato' Azmi yang dibentangkan mendapat ulasan dan reaksi positif daripada ahli-ahli kelab.

Kerangka program yang dipersetujui secara dasar di serahkan kepada Biro pelajaran unutuk perincian.

Sdr Dr Hj Murshid, Ketua Biro Pelajaran bertindak cepat menghubungi 10 buah Rumah anak-anak Yatim seluruh negeri Perak dengan sasaran 100 pelajar. Lawatan-lawatan ke beberapa Rumah anak-anak yatim menyusul untuk mendapat maklumbalas pengelola rumah anak yatim supaya program diperkemaskan lagi.

Kem Dato’ Sagor (KDS), sebuah kem latihan  di Kampung Gajah dipilih sebagai tempat latihan untuk melaksanakan program Kem Motivasi ini kerana kemudahan asrama, riadah, dewan kuliah dan dewan makan yang lengkap.

Kumpulan sasaran adalah pelajar-pelajar dari kumpulan umur 14 hingga 16 tahun yang akan dipilih untuk menghadiri program kem motivasi bertujuan membina keyakinan diri, kental, berwawasan dan  pendedahan tentang kerjaya masa depan.

Pemudahcara daripada Kem Dato' Sagor, universiti tempatan, para pemimpin korporat dan ahli-ahli kelab dikenakpasti untuk mengendalikan program. 

Jam 2.30 petang selepas solat Juma'at 12 November 2010, 83 pelajar daripada rumah anak-anak yatim seluruh negeri Perak hadir mendaftar untuk program motivasi di Kem Dato' Sagor. Malang kerana beberapa rumah anak yatim tidak bersama atas sebab-sebab tertentu.

Sessi suaikenal selepas pendaftaran mendapat respons yang menggalakkan .

Selepas minuman petang mereka dibenarkan ke dormitori masing-masing untuk rehat, makan malam dan persediaan kuliah dan ceramah malam.

Ustaz Amir daripada Sek Men Lambor Kiri yang mengimamkan solat Maghrib petang ini menggunakan ruang waktu antara solat Maghrib dan Isyak untuk menyampaikan tazkirah

Upacara perasmian pleh Sdr Dr Hj Zakaria, Presiden kelab menyusul solat Isyak berjemaah. Upacara rengkas tapi padat lagi bermakna untuk sebuah program khusus yang julung kali diusahakan sepanjang 33 tahun sejarah Kelab Bakti Gunung Keledang.

Sebuah ceramah rengkas oleh Encik nur Azlan Zainuddin, penceramah daripada Universiti Perguruan Sultan Idris mengekori perasmian.

Jam 11.00 malam, para pelajar dilepaskan untuk kembali ke dormitori masing-masing sementara menanti jadual padat esok hari susunan padat para fasilitator KDS.

Hari kedua, Sabtu bermula seawal jam 5.30 pagi untuk solat Subuh dan tazkirah rengkas disusuli dengan sarapan pagi.

Pulang ke dormitori untuk menukar kepada pakaian riadah. Dikala udara pagi masih segar dan bersih, memang elok jika badan dipanaskan dengan riadah dan senaman ringan untuk mencelikkan mata dan minda ketika di dewan kuliah.

Ceramah pagi di mulakan dengan sessi 'luahan hati'  bersama Puan Hajjah Ainul, seorang usahawati berjaya yang juga isteri kepada Sdr Hj Sazali, seorang atkitek dan Presiden kelab tahun 2002.

Syujur kerana para pelajar dapat berinteraksi dengan fasilitator dengan senang, rela hati dan dwihala. 

Sdr Tan Sri Ahmad Azizuddin, seorang tokoh korporat yang pernah menerajui PERODUA dan veteran kemerdekaan mengambil alih sessi petang mulai jam 2.00 petang. walau pun jadual harian padat, beliau sanggup melapangkan masa untuk anak bangsa.

Tan Sri menggunakan ruang untuk membawa para pelajar kedalam terowong masa menerokai sejarah silam Tanah Melayu mencapai merdeka.

Tan Sri mengingatkan pengorbanan orang-orang terdahulu yang banyak berjasa sehingga kita hari ini  mempunyai banyak kemudahan. Hayatilah semanagt merdeka dan terus gigih berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup. 

Tentu ada sesuatu yang menggembirakan Tan Sri dan Puan Sri sehingga mereka bermurah hati untuk memberi duit raya kepada setiap pelajar.

 Sdr Cikgu Hj Zabidi, ahli kelab yang mahir dengan sistem pelajaran Malaysia, menyusuli Tan Sri dengan kertaskerjanya mengenai ' Membina tangga-tangga kearah pencapaian akademik cemerlang'.

malam hari Sabtu bermual dengan solat Maghrib berjemaah disusuli dengan tazkirah oleh Ustaz Azhar alhafiz pada ruang waktu antara solat maghrib dengan Isyak.

Ceramah kerjaya meliputi bidang perubatan, perundangan, senibina, kejuruteraan dan perakaunan menyusul selepas solat isyak. 

Sdr Dr Hj Zakaria, Presiden kelab dan pakar neurologi terkenal memulakan sessi bualbicara bidang perubatan.

Untuk menjadi seorang doktor yang berjaya, seseorang perlu rajin, tekun, tabah, cekal dan kuat semangat. Contoh yang jelas ialah dirinya, kata Dr Zakaria.

Dari seorang anak kampung yang terpaksa mengharungi payah jerih dan keperitan hidup, beliau kini sudah bergelar pakar atas kegigihan usaha sendiri dan berkat doa ibu bapa tercinta.

Datin Fairuz Hassan ‘Adli, seorang peguam korporat mengambilalih bual bicara kerjaya dengan imbasan mengenai kerjaya peguam. Membahasakan dirinya sebagai ibu, beliau menerangkan ruang-ruang pekerjaan dalam bidang perundangan.  

Sdr Hj Sazali, presiden kelab tahun 2002 juga seorang akitek terkemuka di Ipoh menyusul kemudiannya. Bersungguh-sungguh beliau cuba meyakinkan para pelajar potensi tinggi kerjaya akitek. Alhamdulillah ada yang menunjuk minat.

Tiba giliran Sdr Ir Khairul Anwar, Presiden kelab tahun lalu berbicara, jam sudah menunjukkan pukul 10.50 malam. Bukan senang nak menerangkan bidang kejuruteraan yang begitu luas pada waktu sebegini.

Harap-harap para pelajar cuba mencari sendiri hasil-hasil kejuruteraan yang mempengaruhi kehidupan harian mereka.

Pembualbicara kerjaya terakhir, Sdr Dato’ Hj Mansor Ahmad, Presiden kelab tahun 2000 dan seorang chartered akauntan dengan 33 tahun pengalaman ditugaskan memberi overview mengenai profession akauntan.

Jam dinding sudah menunjukkan pukul 11.10 malam. Waktu yang sudah agak larut untuk berbicara tentang hal-hal berat.

Melihatkan keadaan sedemikian beliau memilih untuk menerangkan profession akauntan melalui pengkisahan seekor itik Peking atau Cherry Valley. 

Jam 11.30 sessi malam di tamatkan dengan doa dan harapan semoga apa yang telah dibentangkan oleh para pembual bicara tentang lima kerjaya dapat difahami walau pun sedikit.

Ahad 14 November 2010 adalah hari ketiga dan terakhir.

Sessi pagi telah diperuntukkan kepada Sdr Dato' LAT, kartunis ikon Malaysia yang juga seorang ahli kelab. Beliau tiba awal dari Ipoh bersemangat untuk memulakan sessi bersama para pelajar.

Sejarah awal penglibatan beliau dengan dunia pengkartunan yang kini menjadi kerjayanya menjadi mukadimah.

Beliau menerangkan bidang pengkartunan juga boleh menjadi kerjaya yang lumayan dan stabil jika gigih, tajam pengamatan dan berobjektif ikhlas serta jujur.


Tiga hari yang panjang tapi bermakna untuk semua. Majlis penutup dilaksanakan oleh Sdr Presiden. Penyampaian sijil kehadiran dan hadiah-hadiah khas untuk para peserta disempurnakan oleh Sdr Dato' Azmi, Sdr Dr hj Murshid dan Puan Hajjah Hanita, isteri Dr hj Zakaria, Presiden kelab.

Sebagai rumusan, banyak yang dapat dipelajari bersama antara para fasilitator dan pelajar; antara masa lalu, kini dan masa depan; antara bangsa dan negara dan sesama kita yang bernama manusia.

Sesungguhnya semangat Keledang amat terserlah bersemarak dalam program sebegini. dan bertuahlah mereka yang telah bermurah hati menaja para pelajar untuk hadir.

 SYABAS KELEDANG, SYABAS KEM DATO’ SAGOR…SYABAS ANAK-ANAK BANGSAKU.

No comments:

Post a Comment