Thursday, May 20, 2010

22. NURUL IMAN...RAHMAT DI SEBALIK MUSIBAH

Acapkali kita terima berita musibah, kita bersedih tetapi tidak membaca maksud tersirat di sebalik peristiwa sedemikian.

Tanggal 01 Mac 2010, sebuah bangunan stor dan bilik solat di Pusat Jagaan Anak Yatim Nurul Iman, Jalan Dato’, Manjoi, Ipoh hangus dibaham api. Semua pakaian, buku-buku dan peralatan surau kegunaan 30 kanak-kanak di Pusat tersebut musnah.

Berita kejadian disampaikan pada mesyuarat Kelab Bakti Gunung Keledang oleh Tuan Hj Mustapha Mohamad, Ketua Biro Ekonomi. Presiden, Jawatankuasa dan ahli-ahli kelab yang hadir pada mesyuarat tersebut sependapat dan bermuafakat untuk membantu.

Lawatan terus diatur di sebelah petang selepas mesyuarat untuk meninjau keadaan sebenar. Kami dapati bangunan rosak teruk dan perlu dibina semula. 

Kelab Keledang sepakat untuk membina semula keseluruhan bangunan dan menggantikan semua peralatan dengan pembiayaan penuh diuruskan kelab.

Atas kepakaran sebagai seorang pemaju perumahan dan kontraktor tersohor, Tuan Hj Mustapha diberi tugas untuk menjana dana dan menguruskan pembinaan bangunan sehingga siap sempurna.

Alhamdulillah, dalam lawatan saya bersama Uncle Hj Mustapha hari ini, bangunan gantian mencapai tahap 95% siap, semua peralatan diperolehi. Yang belum lengkap akan dilengkapkan. Semua bayaran kepada kontraktor pun telah dilunaskan.


Komitmen daripada badan korporat di bawah program ‘Corporate Social Responsibility’ mencurah masuk.

Mengikut keterangan En Khairul, Ketua Pentadbir Pusat Nurul Iman, sebuah bank koperasi telah bersetuju untuk menaja semua katil dan tilam baru. Sememangnya bank ini amat perihatin kerana menggantikan tilam-tilam baru setiap tahun.

Satu acara penyerahan bangunan, kenduri doa selamat dan gotong royong menyusun kemas kawasan sedang di atur hujung bulan ini, insyaallah.

Tidak siapa menjangka musibah yang berlaku ke atas Nurul Iman sebenarnya membawa rahmat Ilahi. Ramai rakan dan taulan, lama dan baru, jauh dan dekat menghulurkan bantuan. 

Hasilnya sebuah bangunan baru yang lebih sempurna terbina lengkap dengan serba peralatan. Nurul Iman hari ini lebih dikenali masyarakat dalam peranan dan perjalanannya mengasuh dan mendidik anak-anak yatim menjadi insan terbilang dan berakhlak tinggi.

Difahamkan juga Nurul Iman dalam proses menaik taraf status penubuhan untuk menjadi sebuah persatuan berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia atas nama PERSATUAN KASIH NURUL IMAN.

Kepada yang masih sudi memberi sumbangan untuk membiaya kos makanan harian, toiletries, wang saku ke sekolah, yuran sekolah, elaun para petugas, kos letrik dan air serta selenggara dua buah van sila hantarkan sumbangan terus kepada pusat berkenaan.

Semoga segala usaha pengurusan Nurul Iman, anak-anak Nurul Iman dan para dermawan diberkati Allah SWT.


muzillmansor

No comments:

Post a Comment