Sunday, May 30, 2010

24. KUNJUNG ZIARAH KE KAMPUNG LALANG, KINTA, PERAK

Agak lama tak jumpa sahabat handai di perkampungan Orang Asli Kampung Lalang, Kinta, Perak.

Sdr Presiden Kelab, Dr Zakaria  menyarankan Rabu lalu supaya ahli-ahli dan keluarga meluangkan sedikit masa pagi Ahad ini untuk berkunjung dan menziarah sahabat handai di Kampung Lalang. Kita berjumpa dengan mereka tanya kabar, makan-makan, tukar pandangan dan bantu mana yang mampu.

Saranan Presiden nyata dapat sambutan hangat. Warung kopi depan Balai Bomba Simpang Pulai sekali lagi jadi tempat berkumpul. 

Kami sampai di warung kopi jam 9.35 pagi. Sdr Dato' Razali Khalid, Naib Presiden kelab dan keluarga serta Dr Murshid dan keluarga sudah sedia menjamu selesa. Pagi-pagi begini, nasi lemak, mi goreng dan teh tarik panas memang enak. 

Satu demi satu mobil mula menyusul. Sdr Dato Azmi dan keluarga, Sdr Haji Hamzah, Auntie Maria bersama anak menantu campur cucu sekali, Sdr Hj Megat Shahrani, isteri dan anak-anak, Sdr Rizal dan anak-anak dan Sdr Presiden yang datang solo cuma ditemani bungkusan sarat pakaian terpakai dan makanan untuk agihan di kampung nanti.

Jam 10.00 kurang lebih rombongan bertolak ke kampung lalang. ikut jalanraya Simpang Pulai ke Cameron Highland tak sampai 20 minit dah sampai. 

Ustaz Muzammil, Ustaz Asrul dan Tok Ayob, ketua kampung Pos raya mewakili Tok Batin Bah Hilir ( ke Kuala Lumpur atas urusan penting) sedia menunggu.

Bungkusan-bungkusan makanan yang dibawa di agihkan dari rumah ke rumah. Sementara Sdr Presiden berbincang dengan masyarakat setempat urusan keperluan kampung di surau, para isteri sibuk menyediakan makanan tengahari.

Anak-anak cucu pula senang bermain air di sungai berdekatan. Memang cantik dan nyaman kawasan ini.

Saudara-saudara daripada kumpulan Tabligh dan Ma'ahad Tahfiz kebetulan ada program di surau kampung ini. Barangkali kedamaian kampung dan keindahan sungai yang mengalir bersih dan laju memberi kenenangan bermunajat.

Perbincangan banyak berkisar tentang program pemantapan ilmu untuk anak-sekolah, tentang keselesaan anak-anak kampung belajar tuition, tentang keperluan orang kampung berinteraksi dengan masyarakat luar. Tok Ayob banyak membantu menghuraikan masaalah masyarakatnya.

Guru-guru SK Pos Raya, mengikut Cikgu Idris, Penolong Kanan sekolah, yang turut serta dalam rombongan, banyak mengadakan program celik ICT untuk anak-anak sekolah dan ibu bapa tapi kekadang sambutan ibu bapa masih dingin mungkin kerana resam Orang Asli memang pemalu. 

Pagi ini nampaknya memang orang kampung bersedia menyambut rombongan kelab. Bahu-bahu di sepanjang jalan masuk di tebas potong. Kawasan rumah yang sememangnya bersih di bersihkan lagi mungkin meraikan kami sebagai tetamu.

Jam 2.00 petang selepas selesai solat Zohor berjemaah, majlis kenduri kesyukuran dilaksanakan.

Nasi minyak, kari daging dan jelatah timun tomato menjadi hidangan semua. Puas berjamu dalam suasana senyum ria tanda ikatan persahabatan, rombongan kami berlepas pulang selamat dengan seribu kenangan dalam hujan renyai tanda rahmat.

Insyallah, kami datang lagi membawa beberapa penyelesaian agar masaalah yang dibangkitkan terlerai jua.


catatan: muzill.mansor


No comments:

Post a Comment