Tuesday, August 31, 2010

52. MAJLIS BERBUKA PUASA DI RUMAH ANAK-ANAK YATIM BAKIP, MERU RAYA, IPOH

Majlis berbuka puasa petang tadi bersama anak-anak yatim BAKIP di Rumah BAKIP, Meru Raya, Ipoh meriah dengan kehadiran ramai ahli-ahli kelab dan ahli keluarga serta sahabat handai Sdr Dato' Ishak dari khariah Taman Meru.

Bangunan yang baru sahaja siap dilihat mampu memberi keselesaan kepada penghuni untuk belajar dan menempah kejayaan dalam pelajaran dan membina jatidiri.

Selesai berbuka dengan hidangan kuih-muih, solat Maghrib berjema'ah telah diadakan disusuli dengan jamuan makan malam.

Di majlis yang sama, Sdr Dr Hj Zakaria Abdul Kadir, Presiden Kelab dan Puan Hanita, isteri beliau turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim BAKIP.

Tahniah kepada Sdr Dato' Ishak, Datin Rohayati, Bob, Dr Hj Zakaria, Puan Hanita serta stesen PETRONAS PLUS Northbound Simpang Pulai kerana berjaya membawa sinar kegembiraan kepada anak-anak yatim BAKIP dengan tajaan morei, sessi silaturrahim dan penyampaian duit raya petang tadi.

Semoga ramai lagi insan-insan berhati mulia sudi membantu anak-anak yatim sepanjang tahun dan sepanjang masa.

51. DIARI KELEDANG MINGGU INI

30 Ogos 2010/ 20 Ramadhan 1431 Isnin - Majlis berbuka puasa bersama penghuni Rumah Orang-orang tua Seri Kenangan, Ulu Kinta, Perak.

Semua ahli kelab dan keluarga dijemput hadir

31 Ogos 2010 / 21 Ramadhan 1431 Selasa - Majlis berbuka puasa dan bersolat jema'ah bersama anak-anak yatim di Rumah anak-anak yatim BAKIP, Meru Raya, Ipoh.

Majlis anjuran Sdr Dato' Hj Ishak bin Hj Mohamad, Ketua Biro Ehwal Kelab. 

Semua ahli kelab dan keluarga dijemput hadir.

31 Ogos 2010 / 21 Ramadhan 1431 Selasa . KBGK mengucapkan  'Selamat menyambut hari kelahiran' kepada Datin Rohayati, isteri kepada Sdr Dato' Hj Ishak bin Hj Mohamad.

Serangkap pantun untuk auntie Datin Rohayati, 

Bunga kantan bunga selasih

Bunga cempaka bunga dahlia

Buat kebajikan Allah kasih

Anak merdeka dipandang mulia

Semoga dikurniakan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dilimpahkan keberkatan dan kesejahteraan oleh Allah subhanahu wata'ala. Amin.

01 September 2010 / 22 Ramadhan 1431 Rabu - Acara agihan bubur lambuk di Masjid Paloh, Ipoh pada mulai jam 5.15 petang selepas solat 'Asar.

02 September 2010 / 23 Ramadhan 1431 Khamis - Majlis penyampaian sumbangan Yayasan Keledang: 

1.untuk mangsa banjir di Pakistan melalui Mercy Malaysia.

2. Bantuan kepada seorang ibu tunggal anak lima yang tinggal di Kelebang, Ipoh. Kisah penderitaan ibu tunggal ini diketengahkan oleh Sdr Rosli, pemberita Ipoh Echo.

04 September 2010 / 25 Ramadhan 1431 Sabtu - Majlis berbuka puasa, solat Maghrib, solat Isya' dan solat Tarawih berjema'ah bersama masyarakat Islam perkampongan Orang Asli Gedong Batu, Seri Iskandar, Daerah Perah Tengah.

05 September 2010 / 26 Ramadhan 1431 Ahad - Majlis berbuka puasa, solat Maghrib, solat Isya' dan solat Tarawih berjema'ah di Surau Taman Golf, Ipoh. Majlis anjuran Sdr Dr Hj Zakaria, Presiden Kelab dan keluarga. Ahli-ahli kelab dan keluarga diminta mengesahkan kehadiran.

Program anjuran Presiden kelab adalah penutup program sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.



catatan: muzill.mansor



Saturday, August 28, 2010

50.BERBUKA PUASA DAN SOLAT JEMA'AH BERSAMA MASYARAKAT ISLAM ORANG ASLI DI KAMPONG LALANG , JALAN CAMERON HIGHLAND

Bertempat di Perkampongan Orang Asli Kampong Lalang, Jalan Cameron Highland, Simpang Pulai, Ipoh pada petang tadi keluarga Keledang dan sahabat handai telah berbuka puasa dan solat Maghrib berjema'ah bersama saudara-saudara muslimin dan muslimat daripada kalangan Orang Asli kampong tersebut dan kampong-kampong berdekatan.

Majlis yang julung kali diadakan pada bulan Ramadhan di surau kampong ini dan disertai oleh rombongan daripada Islamic Relief, Kuala Lumpur bertujuan meningkatkan saliturrahim antara penduduk-penduduk  di situ dengan keluarga Keledang dan dunia luar.

Ramai ahli kelab dan ahli keluarga yang telah menyertai majlis tersebut seperti juga sambutan hangat acara serupa di tiga buah perkampongan Orang Asli iaitu Kampong Makmur, Kampong Suak Padi dan Kampong Choh pada minggu-minggu lalu.

Pada majlis kali ini Sdr Dr Hj Zakaria, Presiden kelab telah menyampaikan kotak-kotak makanan sumbangan daripada Islamic Relief kepada penduduk-penduduk tempatan.

P/s Petang tadi ada jamuan istimewa, nasi beriani dengan rendang itik cherry valley.  

Friday, August 27, 2010

49. GILIRAN BERBUKA PUASA KELUARGA KELEDANG DI RUMAH SETIAUSAHA KEHORMAT

Petang ini ahli-ahli keluarga Keledang akan berkumpul beramai-ramai di kediaman Sdr Haji Megat Ahmad Shahrani, Setiausaha Kehormat kelab untuk majlis iftar dan solat berjema'ah. 

Kali pertama majlis sebegini diadakan di kediaman Sdr haji Megat adalah pada tahun lalu.

Semoga Allah Ta'ala menganugerahkan Tok Megat, auntie Anne dan keluarga nikmat yang bertambah, kesihatan yang baik, kesejahteraan, hidup aman damai...aminnn.

Thursday, August 26, 2010

48. BERBUKA PUASA BERSAMA ANAK-ANAK YATIM DARUSSALAM

Petang ini insyaallah, AJK kelab, ahli-ahli kelab di ketuai oleh Sdr Dr Hj Zakaria, Presiden kelab bersama ahli-ahli keluarga akan berbuka puasa dan bersolat jema'ah bersama anak-anak yatim di Darussalam, Simpang Pulai, Ipoh.

Program yang telah diatur ole Sdr Dato' Hj Ishak Mohamad, Ketua Biro Ehwal kelab diharapkan dapat membuka lembaran baru jaringan antara Kelab Bakti Gunung Keledang dengan Rumah anak-anak yatim Darussalam dibawah kelolaan Ustaz Musa. 

Mungkin ada ruang yang kelab dapat menghulurkan bantuan dari segi peruntukan peralatan dan pendidikan.

Ahli-ahli kelab yang ingin turut serta bolehlah mendapatkan butiran program daripada Sdr Dato' Azmi, Ketua Biro Kebajikan kelab.


Wednesday, August 25, 2010

47. PROGRAM HARI INI - AGIHAN BUBUR LAMBUK DAN MOREI DI MASJID PALOH SERTA MAJLIS DOA SELAMAT IPOH

1.Dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa acara agihan bubur lambuk percuma setiap petang Rabu akan diteruskan pada hari ini  jam 5.15 petang ini di Masjid Paloh, Ipoh.


Disamping itu, morei juga akan disediakan oleh pihak kelab untuk muslimin dan muslimat berbuka puasa petang ini.

Ahli Jawatankuasa kelab juga akan turut serta menjayakan acara-acara yang telah diatur.

Wargakota Ipoh adalah dengan hormatnya dijemput ke acara-acara yang telah diatur di masjid tersebut.

2. Satu majlis bacaan yaasin dan doa selamat anjuran the Keledang Ladies dijadualkan berlangsung pada jam 4.00 petang ini di kediaman Sdr Megat Haji Ahmad Shahrani, Setiausaha Kehormat kelab. Majlis adalah untuk mendoakan kejayaan anak-anak keledang yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tahun ini.

Sunday, August 22, 2010

46. GAMBAR-GAMBAR DI SEKITAR MAJLIS BERBUKA PUASA DI RUMAH NAIB PRESIDEN KELAB

Majlis berbuka puasa di rumah sdr Dato' Mohamad Razali Khalid dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Yg Berbahagia Ustaz Haji Azhar alhafiz, yang juga mengimamkan solat Maghrib, solat Isya' dan solat Tarawih. 

Seperti biasa ,ramai ahli-ahli kelab dan ahli keluarga dapat hadir. Majlis dimeriahkan lagi apabila beberapa orang ahli seperti dato' Lat, BP Dato' Azumu, Dato' Hamdan Ahmad dan Dato' Ismail Mokhtar dari kumpulan ' the Andersonians' turut serta selepas majlis awal mereka di SMK Anderson tamat.

Selepas solat Tarawih sambil berjamu kueh dan bubur,mesyuarat rengkas AJK kelab telah diadakan di pengerusikan oleh Sdr Dr Zakaria, Presiden kelab.

Beberapa keputusan telah dicapai seperti berikut:

1. Menjadikan Rumah anak-anak yatim Baitul Aini sebagai 'anak angkat' untuk disalurkan bantuan infrastruktur dsbnya tertakluk kepada persetujuan pengurusan rumah tersebut. 

2. Meluluskan permohonan beberapa pelajar untuk bantuan kewangan melanjut pelajaran di Universiti Mut'ah, Jordan.

3. Meluluskan bantuan kewangan kepada beberapa rumah anak-anak yatim di sekitar Ipoh termasuk pembelian baju-baju raya.

4. Menyegerakan tindakan 'filing annual returns' kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Perak.

5. Menyegerakan pengiklanan jawatan Eksekutif Sekretariat yang kosong melalui Job Street.

6. Mengusulkan supaya Pengarah-pengarah baru Kelcon Sdn Bhd yang mewakili Yayasan Keledang segera meminta Setiausaha Syarikat mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah untuk menentukan halatuju syarikat.

Mesyuarat tamat hampir tengah malam.

Kelab merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sdr Dato' Mohamad Razali Khalid dan Datin Rabisah.

Kepada Dato' dan Datin serta ahli keluarga, semoga Allah Ta'ala terus melimpahkan rezeki yang bertambah, nikmat kesihatan yang baik, hidup sejahtera, rukun, aman dan damai.